Kebebasan bersuara merupakan hak asasi yang diiktiraf oleh Islam namun perbincangan tentang batasannya dalam konteks Malaysia masih kurang berpandukan analisis teks al-Quran secara sistematik. Kajian ini mengkaji kebebasan bersuara menurut al-Quran melalui pendekatan tafsir mawdu'i, menganalisis batasannya melalui kes G25 Malaysia dan Sisters in Islam serta menilai kesesuaian kerangka wasatiyyah sebagai penyelesaian. Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif melalui analisis dokumen dengan menghimpunkan ayat-ayat al-Quran berkaitan tema kebebasan bersuara daripada kitab-kitab tafsir muktabar iaitu Al-Tabari, Ibn Kathir, Al-Zuhayli dan Quraish Shihab. Analisis tematik Braun dan Clarke turut digunakan untuk menilai kes-kes kontemporari yang berkaitan. Dapatan kajian mengenal pasti tiga kelompok prinsip kebebasan bersuara dalam al-Quran iaitu kelompok pengiktirafan hak bersuara, kelompok etika bersuara dan kelompok hikmah dalam berdialog. Analisis terhadap kes G25 dan Sisters in Islam mendapati bahawa kedua-dua pertubuhan ini mempunyai sandaran yang sah dalam kerangka al-Quran untuk menyuarakan pandangan mereka namun cara penyampaian dan metodologi yang digunakan turut menentukan kesahan hak bersuara tersebut dari sudut Islam. Kajian ini menyimpulkan bahawa kerangka wasatiyyah berpotensi menjadi landasan penyelesaian yang seimbang dan berpandukan wahyu dalam menangani ketegangan berkaitan hak bersuara di Malaysia. Kajian ini menyumbang kepada literatur sedia ada dengan menggabungkan pendekatan tafsir mawdu'i, kerangka wasatiyyah dan analisis kes kebebasan bersuara dalam konteks sosio-perundangan Malaysia secara bersepadu.
No takes yet. Share an insight, caveat, or question.
Mohamad Murad Mahyudin Muheji (2026) studied this question.
Synapse has enriched 5 related papers. Consider them for comparative context: